Assalamualaikum.
Minggu lepas aku ada membaca satu artikel dalam Time tentang apa yang sepatutnya orang di sini pilih untuk makan, sama ada makanan organik atau makanan tempatan. Dalam artikel tu diterangkan dengan panjang lebar mengapa makanan yang dikeluarkan di tempat sendiri lebih bagus daripada makanan organik. Untuk maklumat lanjut boleh pergi ke sini.
Setelah membaca artikel itu, aku terfikir betapa prudentnya mereka ini. Sampai soal makanan pun mahu mencari yang lebih baik. Tak cukup dengan yang organik, mahu cari yang lebih baik dari itu. Tapi, apa yang artikel itu bawakan betul juga. Buah-buahan dan sayur organik tu pun boleh hilang khasiatnya bila dah perjalanan itu terlalu jauh.
Tapi, untuk mengeluarkan makanan tempatan sepanjang tahun di sini adalah mustahil sama sekali dek kerana musim sejuk di himesfera utara setiap tahun. Mau tak mau, mereka terpaksa juga bergantung pada ladang-ladang di Carlifonia yang jaraknya beribu-ribu batu dari Midwest region. Berbeza pula keadaannya di kampung aku, Kuala Berang. Setelah membaca artikel ni, baru la aku nampak satu lagi kelebihan kampungku.
Hidup orang di sana tak la serumit seperti sesetengah orang di sini sehingga terpaksa memilih-milih ketika membeli sayur.Di Kuala Berang(mahupun tempat-tempat lain di Malaysia) anda akan dapat kombinasi kedua-dua yang di ingini orang di sini-organik dan tempatan.
Pergi saja ke pasar khas di pekan Kuala Berang setiap Sabtu atau Rabu, pelbagai jenis sayur yang kebanyakannya ditanam oleh orang-orang tempatan secara tradisi boleh di jumpai. Makanan yang diperdagangkan disini kebanyakanya dibawa dari kampung-kampung di sekitar Kuala berang yang memang aktiviti utama sepanjang tahun adalah pertanian. Mengapa aku menggunakan perkataan ‘kebanyakan’? Kebanyakan itu menandakan tidak semua. Kerana disini memang terdapat juga sayur-sayur yang di bawa dari luar yang aku rasa memang bukan dari kalangan organik. Untuk mengenalinya senang sahaja. Kalau anda jumpa sayur kelihatan ‘comel’, itu la dia sayur yang dibawa dari luar.
Hidup aku di kampung juga amat mudah sekali ketika tiada benda yang boleh dimakan pada waktu tengah hari. Budu yang diperah bersama asam limau dan lada jarum la yang menjadi santapan ketika waktu sebgini. Perlengkapkan lagi hidangan budu tadi dengan ulam-ulaman sama ada petai, pegaga, jering, pucuk kayu manis atau pucuk ubi kayu yang boleh diperolehi di belakang rumah untuk dimakan bersama budu sebagai makanan sampingan(meleleh air liur aku dibuatnya..dah lama tak makan macam ni). Semua ulam-ulam ini organik dan tempatan. Mudah sekali kan!
Bercakap pasal budu, jangan pula anda menyangka ianya satu makanan yang tiada khasiat. Menuang budu diatas piring ibarat menuang satu cecair vitamin sebagai santapan makanan tengah hari anda. Mungkin maklumat di sini boleh mengubah persepsi anda terhadap budu. Walaubagaimanapun, perlu diperingatkan bahawa pengambilan budu setiap hari siang dan malam juga boleh memudaratkan. Ambillah ia sekali sekala sahaja. Juga, ambillah segala apa yang kita makan secara berpada-pada. Pohon maaf jika tulisan aku ini tidak memberi apa-apa pengajaran pada anda.
Sekian Wasallam.
