Assalamualaikum.
Kegiatan mengemis ni sudah beberapa minggu saya tinggalkan sejak berpindah ke rumah baru. Jika sebelum ni, aktiviti ini la yang saya lakukan di musim panas apabila pulang dari kelas atau dari kerja. Saya akan sengaja mengambil jalan sedikit jauh, melalui kawasan perumahan dan target saya adalah tong-tong sampah besar. Biasanya pada akhir Julai atau awal Ogos, tong sampah ini akan dipenuhi dengan barang-barang yang dibuang oleh orang putih kerana ketika inilah musim pindah rumah di kampus kami.
Jadi peluang ini akan digunakan sebaik mungkin oleh kami sebelum berpindah untuk mengutip barang-barang yang masih terpakai untuk dibawa ke rumah baru. Barang-barang yang biasanya kami kutip adalah sofa, tilam, almari, rak buku, futon dan meja. Jika bernasib baik, barang-barang elektronik seperti TV, printer, air-cond dan CRT monitor juga boleh diperolehi. Tapi, barang-barang seperti itu cepat laku.
Kegiatan mengemis ini membuatkan saya membuat perbandingan antara sikap rakyat dua negara, Amerika dan Malaysia. Satu pihak terlalu berkira dengan barang-barang mereka manakala satu lagi terlalu pemurah dengan barang-barang mereka.
Jika di Amerika, barang yang mereka rasa tidak diperlukan akan terus dibuang walaupun barang itu masih elok dan boleh digunakan untuk tempoh yang lama. Mungkin juga kerana barang tersebut memerlukan tenaga yang lebih untuk memindahkannya. Habis madu sepah dibuang!
Di Malaysia atau dikhususkan lagi kepada masyarakat Melayu sekitar saya. Amalan membuang barang-barang yang tidak berguna memang jarang sekali dapat saya lihat. Jika pergi kebelakang rumah atau setor, pasti dapat melihat timbunan barang-barang lama yang tidak dapat digunakan tapi masih lagi disimpan. Contohnya adalah buaian anak, surat khabar lama, majalah-majalah, tikar getah, peti sejuk, TV, kayu kayan, bateri kereta ataupun pakaian lama.
Saya tidak mengerti untuk apa orang Melayu menyimpan barang-brang ini semua. Dibuang tidak, diguna tidak, diderma pun tidak. Hanya satu waktu sahaja saya dapat melihat barang-barang ini bergerak dari kawasan tuan rumah mereka iaitu ketika pembeli surat khabar lama atau besi buruk datang. Jika tidak, jangan harap nak lihat barang-barang sebegitu di tong sampah di Malaysia.
Sekian Wasallam.