Alhamdulillah..Pada cuti thanksgiving, aku bersama-sama rakan dalam MISG lain telah bertamrin di Rensselaer Polytechnic Institute(RPI), New York. Jauh juga tempatnya. 17 jam dihabiskan untuk perjalanan pergi. Aku bertolak dari Purdue bersama 3 orang lagi brothers pada tengah malam hari Rabu (21 Nov). Kereta kami adalah satu-satunya kereta dari Midwest ke Tamrin RPI. Dalam perjalanan menuju ke Ann Arbor, salji mula turun. Perjalanan kami diuji dengan kegelapan pagi, jalan yang licin dan salji yang menghadkan penglihatan. Perjalanan ke Rochester diteruskan selepas selesai menjemput seorang sister di Ann Arbor, Michigan.

Perjalanan ke Rochester juga tidak banyak berubah. Salji turun diselang-selikan dengan hujan. Kami tiba di Rochester pada tengah hari untuk menjemput saudara Pekan. Perjalanan diteruskan ke Troy tempat di mana letaknya kampus RPI. 3 jam berhimpit di belakang dirasakan sekejap dek kerana mendengar saudara Pekan berceloteh.
Kami tiba di RPI agak lewat iaitu jam 6 malam(hari Khamis). Setengah jam kami habiskan dengan berputar-putar di sekitar kampus untuk mencari lokasi program. RPI tidak seperti Purdue. Bukit-bukau di sekitar kampusnya curam-curam belaka. Ketibaan kami disambut rakan-rakan lain yang telah berprogram sejak tengah hari. Sungguh gembira sekali kami berjumpa setelah lama tidak bertemu.

Program 3 hari Tamrin kali ini menurut rakan-rakan MISG adalah lain dari yang lain. Hanya seorang speakers(Imam Djafer) sahaja dijemput untuk memberikan pengisian dalam satu slot. Slot-slot lain dikendalikan oleh kepimpinan MISG sendiri. Kagum aku dengan meraka. Malah ada yang mengatakan Tamrin kali ini lebih mantap dari sebelumnya kerana dikendalikan sendiri oleh Qiyadah MISG tanpa memenuhkan slot-slot dengan mendengar ceramah dari penceramah jemputan.
Jika ditanya slot apa yang paling best, aku pasti menjawab slot pembentangan lajnah yang dikendalikan oleh akhi Firdaus dan akhi Anas. Menerusi slot ini banyak yg aku belajar mengenai gerakan MISG. Dalam slot ini juga banyak yang aku dapat tahu kekuatan dan kelemahan MISG. Anda tahu berapa nisbah usrah sisters jika dibandingkan dengan usrah brothers? Anda tahu berapa jumlah jualan yang dilakukan oleh Lujnah Ekonomi? Anda tahu berapa borang Unit Baitul Muslim(UBM) yang dihantar? Banyak lagi la yang terdedah dalam slot ni..

Juga dalam slot itu, aku dapat bertemu dangan ahli-ahli Lujnah Dakwah Tarbiyah(LDT) yang lain. Selama ini gerak kerja kami lebih tertumpu di alam maya. Tetapi, bila bertemu di alam nyata, ternyata memang banyak idea-idea bernas dan analisis yang berjaya dilontarkan oleh ahli-ahli LDT tentang lujnah kami yang merupakan tunjang utama MISG. Jika lujnah kami lesu dan tidak bergerak, bermakna MISG juga turut lesu dan tidak bergerak. Harapnya, kami dapat memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan pada tahun hadapan.
Slot Perang Cyber juga menarik kerana ia sedikit sebanyak boleh dijadikan kayu ukur gerakan MISG yang banyak berpusat di alam maya. Banyak lagi perkara yang belum aku manfaatkan di MISGonline. Banyak ‘khazanah’ dan ‘harta’ di sana. Berdasarkan analisis oleh akhi Anas, sambutan kepada MISGonline agak kurang di US berbanding di Malaysia. Begitu juga dengan radio MISG. Harapnya Lujnah Informasi dapat hadir dengan idea-idea mantap selepas ini untuk memulihkan semua ini.
Banyak lagi program lain yang menarik di Tamrin. Tapi itu je yang boleh untuk aku sampaikan di sini. Sesungguhnya memang terlalu banyak ruang kosong yang boleh dipehuni dan diperbaiki dalam MISG. InsyaAllah MISG tidak akan kurang tenaga kerja selepas ini. Sekurang-kurangnya, di Tamrin RPI ini, 22 orang telah berjanji untuk bersama-sama mengembangkan dakwah ini. InsyaAllah doa akhi Zuhdi semoga MISG dapat subur seperti gerakan dakwah pelajar Malaysia di negara-negara lain seperti satu ketika dulu akan termakbul. Ia tak datang dengan mudah. Semua penggerak perlu gandakan usaha dan buang ego serta sikap malas masing-masing.

Yang pasti, Tamrin ini telah berjaya menaikkan kembali semangat kami untuk memperkasakan lagi gerakan dakwah ini. Harap-harap ia tak jadi hangat-hangat tahi ayam. Dalam masa terdekat ini, kami berjanji untuk menumpukan gerak kerja pada muktamar yang akan berlansung kurang sebulan dari sekarang. Sedang mereka yang lain mungkin tak sabar untuk ke Muktamar, aku rasa sedikit cuak pula untuk ke sana. Harapnya sukarelawan makanan dapat sama-sama membantu di dapur nanti.Kami bertolak pulang ke universiti masing-masing selepas selesai menjamu selera di sebuah restoran Pakistan di downtown Troy. Memang sedap makanannya lebih-lebih lagi bila dibelanja.

Perjalanan pulang bermula pada jam 4 petang(hari Sabtu). Kami berkonvoi pulang bersama dengan rakan-rakan dari Vandy. Kami singgah di Rochester sebelum berpisah di Cleveland, Ohio. Kereta dari midwest terpaksa meneruskan perjalan ke Ann Arbor, Michigan sebelum pulang ke Indiana. Kami sampai di Purdue jam 1 petang(hari Ahad). Ansari dan Imran terpaksa meneruskan perjalan pulang mereka ke Illinois. Perjalanan pulang kami kali ini lancar tanpa diuji dengan salji yang turun.
Sekian Wasallam.
ps: laporan bergambar di sini.



