InsyaAllah, untuk artikel kali ini, saya ingin berkongsi serba sedikit hasil pembacaan saya beberapa minggu yang lepas dari satu buku karangan Zainah Anwar- “Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among Students”. Saya tidak pasti sama ada rakan-rakan yang lain sudah membacanya atau belum. Jika sudah, sudikanlah diri untuk memperbetul apa yang silap atau memberi sedikit ulasan tentang buku ini.
Buku yang ditulis 20 tahun lalu ini dibaca kerana ingin megetahui serba sedikit mengenai kegiatan politk di kampus-kampus dan hubung kaitnya dengan persada politik tanah air. Releven atau tidak buku ini dengan keadaan gerakan mahasiswa sekarang biarlah antum semua yang menilai. Saya kongsi isi buku tersebut disini agar kita dapat membuat perbandingan antara gerakan dahulu kala dengan MISG USA-Canada sekarang ini.
Diperingkat pengenalan bukunya, penulis menceritakan kesukaran yang dihadapinya untuk mendapatkan maklumat berkenaan gerakan Islam dikalangan pelajar-pelajar Malaysia. 2 faktor utama adalah kekurangan cacatan bertulis tentang gerakan mereka dan sikap ahli gerakan Islam yang takut untuk berkongsi pengalaman dan maklumat tentang mereka dengan penulis.
Kemunculan gerakan Islam dikatakan bermula setelah berlakunya peristiwa rusuhan 13 Mei 1969 dimana muncul kalangan pelajar yang mencari solusi kearah pemasalahan yang dihadapi masyarakat. Melihat kepada kegagalan sistem yang sedia ada, mereka memilih Islam sebagai solusi dan cuba mengenengahkan solusi ini kepada masyarakat. Secara khususnya, penulis lebih menumpukan kepada sejarah tercetusnya gerakan ini di Universiti Malaya melalui 2 buah persatuan iaitu Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya(PBMUM) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia(PKPIM). Dipimpin oleh aktivis pelajar Anwar Ibrahim dan Kamaruddin Muhammad Nor, persatuan ini dikatakan terpengaruh dengan pemikiran Sayyid Qutb, Hassan Al-Banna, Abul Ala Al-Maududi dan pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang lain dimana hasil tulisan tokoh-tokoh ini menjadi bahan bacaan dan rujukan utama.
Perlaksanaan dasar ekonomi baru dengan penghantaran mahasiswa secara beramai-ramai ke universiti luar negara(England, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat) pada awal 70-an turut memberi kepada gerakan Islam di Malaysia. Di England, sudah wujud Malaysian Islamic Study Group(MISG) yang dikaitkan dengan FOSIS(Fededation of Students Islamic Societies).Dek kerana tidak berkenan dengan pendekatan umum yg diambil MISG dan FOSIS, sebahagian pelajar menubuhkan 2 gerakan lain iaitu Suara Islam dan Islamic Representative Council(IRC). Suara Islam memilih perjuangan yg bercorak politik manakala IRC lebih bercorak tarbiyah individu. Walaupun berbeza ideologi, kalangan pelajar luar negara inilah yang kemudianya pulang ke tanah air dan meneruskan usaha dakwah mereka melalui jabatan-jabatan kerajaan ataupun di institusi swasta tempat mereka berkerja.
Menjelang akhir 70-an dan awal 80-an dakwah di kampus UM dikuasai oleh 4 kumpulan utama iaitu ABIM, Jemaah Tabligh, Darul Arqam dan Republik Islam. Walaubagaimanapun, persaingan untuk mengusai Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMIUM) hanya berlaku antara pemimpin ABIM dan Republik Islam memandangkan Darul Arqam dan Tabligh bukanlah pertubuhan pelajar dikampus dan lebih menekankan dakwah secara individu.
Impak yang dibawa mereka kedalam warga kampus khususnya universiti Malaya cukup kuat. Menurut penulis, contoh perubahan yang dibawa adalah cara pemakaian mahasiswi mula berubah kepada pemakaian yang menutup aurat (bertudung). Penganjuran konsert, majlis tari menari dan acara yang melibatkan percampuran jantina mula mendapat bantahan dari persatuan Islam PKPIM. Malah, aktiviti raging dikalangan pelajar tahun satu turut berjaya dihapuskan hasil bantahan dari persatuan-persatuan Islam.Impak ini dikatakan terhasil daripada kejayaan wakil-wakil persatuan pelajar ini mendominasi hampir kesemua kerusi-kerusi perwakilan pelajar di kampus.
Walaubagaimanapun, halangan dari pelajar-pelajar dan pihak pentadbiran universiti turut diterima mereka sepanjang usaha menyebarkan dakwah. Kebanyakan pelajar memandang gerakan Islam hanya tahu mengatakan “tidak” kepada banyak perkara dan lebih memilih pendekatan ‘holier than thou’ dalam berinteraksi dengan pelajar lain.
Halangan dari pihak universiti juga tidak kurang hebatnya. Perlaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, menyulitkan lagi perjalanan mereka. Aktiviti pelajar dikawal dengan lebih ketat di bawah jabatan hal ehwal pelajar. Peraturan pilihan raya diubah suai agar kepimpinan badan perwakilan pelajar tidak dikusai calon Islamis. Struktur badan perwakilan pelajar juga diubah dengan meperkenalkan jawatankuasa baru seperti sukan, kebudayaan, kebajikan dan lain-lain. Kemasukan untuk tinggal di asrama kampus diperketatkan supaya hanya yang terpilih layak tinggal didalam universiti. Di masjid pula tiada lagi tabir. Tingkap lutsinar pula dipasang dan kuliah-kuliah agama perlu mendapat kebenaran HEP. Walaupun pergerakan mereka mengalami banyak halangan, mereka tetap bergerak melalui usrah yang menjadi nadi utama gerakan.
Di bahagian akhir buku, Zainah Anwar turut menyelitkan beberapa kisah tentang pelajar yang terlibat dalam dakwah. Beberapa kritikan terhadap gerakan Islam juga turut dilemparkan diakhir tulisannya.
Setakat itu sahajalah yang mampu dikongsi. Ada banyak lagi isi yang tidak disertakan. Jika berminat untuk mengetahuinya, bolehlah membaca buku itu sendiri.