Assalamualaikum.
Baru sahaja sebentar tadi aku merayau ke blog Judin dan terbaca tulisannya yang ini. Tiada apa yang mengejutkan tentang entri hijrah beliau. Beliau telah berkongsi perutusan Maal Hijrah dari Menteri Besarnya, Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat atas dasar ilmu dan nasihat. Cuma aku amat tertarik bagaimana dekatnya seorang pemimpin di hati rakyatnya. Bagaimana seorang pemimpin itu boleh memberikan inspirasi dan nasihat kepada seorang rakyatnya tanpa mengira usia. Bagaimana perutusan Maal Hijrah oleh Menteri Besar Kelantan itu boleh sampai hingga ke Rusia! Ketepikan soal politik dalam hal ini. Seperti kata Judin, baca perutusan itu dari aspek ilmu dan nasihat.
Entri itu membuatkan aku menilai balik nilai pemimpin-pemimpin aku sekarang pada kaca mata aku, dan jauh atau dekatnya kata-kata dari pemimpin-pemimpin yang aku ada sekarang di hati aku. Adakah selama ini, Perdana Menteri atau Menteri Besar aku selalu menasihati aku? Jika ada, terkesankah ia pada aku? Adakah nasihat itu benar-benar ikhlas dan berlandaskan Quran dan Sunnah? Jika ikhlas aku pasti dapat merasainya. Pemimpin yang tunjuk jalan di dunia memang ramai. Tapi pemimpin ikhlas untuk tunjuk rakyatnya jalan ke akhirat sukar ditemui.
Pemimpin Memilih.
Teringat pula akan insiden yang melibatkan aku dengan pemimpin peringkat kawasan aku pada Hari Natal tahun 2005. Kemalangan kecil yang menimpa aku ketika itu mengajar aku sedikit sebanyak untuk menilai pemimpin. Memang memalukan untuk terlibat dalam kemalangan sewaktu kenduri kahwin dilansungkan oleh keluarga aku. Kerana rasa tanggungjawab aku tebalkan muka untuk keluar dari kereta dan bertemu orang yang aku ‘berlanggar’. Dipendekkan cerita, pemimpin kawasan aku itu yang kebetulan ada bersama di majlis, keluar untuk ‘meninjau’ keadaan.
2 liabiliti beliau pada ketika itu pada aku. Seorang Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita negeri dan juga sabagai seorang saudara jauh serta saudara seagama.Tapi aku amat kecewa dengan sikap dan layanannya. Bukan la aku mengharapkan beliau untuk membayar ganti rugi kerosakan yang telah aku lakukan. Sekadar bertanya keadaan aku selepas kemalangan pun bagi aku sudah cukup. Tapi aku lansung tidak ditegur, apatah lagi di’sentuh’! Berbeza sekali layanannya pada pihak satu lagi yang berusia lewat 20an. Adakah kerana aku hanyalah budak lepasan SPM yang tak dapat memberikanya apa-apa undi dalam pilihan raya, maka aku layak dilayan sebegitu rupa? Harapkah aku untuk pemimpin sebgini membrikan inspirasi dan tauladan?
Pemimpin yang ikhlas tak pilih bulu ketika menyampaikan nasihat atau bantuan. Nasihat dan bantuannya sampai kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, jantina dan status seseorang itu. Nasihat dan pesanan darinya merentasi sempadan negeri dan negara.
Kunjungan, lawatan, cakna dan nasihat dari seorang pemimpin sejati tak mengenal waktu dan bermusim. Di kala pilihan raya yang akan menjelma, rakyat akan bertemu dengan jenis pemimpin yang bermusim dari parti pemerintah dan pembangkang. Mereka akan turun padang bertemu dan beramah mesra. Semuanya manis ketika ini. Tapi nilai pemimpin yang sebenar hanya dapat dinilai ketika dia berada di tampuk kuasa.
Nilailah pemimpin anda sama ada di peringkat persatuan, kelab, universiti, kampung, daerah, negeri, dan negara. Sudahkah selama ini mereka penuhi tanggungjawab? Sudahkah mereka jalankah tugas yang diamanahkan? Dan yang paling penting, sudahkah mereka tunjukkan anda jalan yang patut diambil ke akhirat?
Sekian Wasallam.


