Semuanya mengenai pilihan raya…
Di sini.
Selepas Potomac primaries semalam, tidak banyak perubahan yang berlaku. Di Republikan, John McCain terus mengukuhkan kedudukannya sebagai calon pilihan parti mereka. Hanya beberapa ratus sahaja lagi diperlukan untuk memastikan kemenangannya. Kemenangan awal bermakna McCain mempunyai masa untuk menyatukan kembali parti Republikan dan melancarkan kempen awal untuk partinya terus memegang kuasa di Oval Office.
Di pihak Demokrat, pertandingan terus sengit walaupun Obama berjaya memintas Mrs Clinton dari segi jumlah pungutan delegasi. Walaubagaimanapun, perbezaan antara jumlah pungutan delegasi mereka terlalu kecil dan pendahulu boleh bertukar pada bila-bila masa. Penganalisis di sini meramalkan bahawa pemilihan akan terus sengit dan dijangka berterusan hingga 4 Mac walaupun Clinton kalah berturut-turut di 10 kawasan selepas Super Tuesday. 4 Mac nanti, lebih kurang 370 delegasi ditawar di Ohio dan Texas. Kedua-dua calon sekarang berusaha sebaik mungkin untuk meyakinkan ahli parti bahawa mereka adalah yang terbaik dan layak untuk berhadapan dengan McCain. Semakin lama persaingan antara mereka berdua, semakin banyak wang yang dibazirkan di pihak Demokrat. Juga dibimbangi, persaingan antara Obama dan Clinton akan menjejaskan perpaduan dalam Demokrat dan merosakkan peluang mereka untuk memenangi pilihan raya presiden.
Di sana.
Pak Lah telah menepati ramalan para nujum bahawa Parlimen dibubarkan pada 13 Februari walaupun beliau telah menafikannya pada hari sebelumnya. Selamat mengundi diucapkan kepada mereka yang akan mengudi. Aku belum lagi layak. Jadi, untuk pilihan raya ke 12 Malaysia ini aku akan jadi pemerhati sahaja.
Sudah tentu negeri paling hot sekarang ini adalah Kelantan diikuti Terengganu. Tampuk pemerintahan di kedua-dua negeri ini begitu berpotensi untuk berubah. Negeri-negeri lain mungkin keputusannya sama sahaja seperti pilihan raya sebelumnya. Cuma mungkin wajah yang memegang kuasa sahaja akan berubah.
Jika di US, berjuta-juta USD dibelanjakan untuk berkempan bagi setiap calon. Di Malaysia, setahu aku tiada pendedahan rasmi tentang perbelanjaan kempen untuk setiap parti seperti mana yang berlaku di US.
Jika di US, iklan-iklan berkempen untuk calon menguasai TV, di Malaysia iklan-iklan berkempen untuk parti mula bersebaran di You Tube. Iklan BN, Iklan DAP, Iklan PAS, Iklan Keadilan…Hampir semua ada. Cuma iklan-iklan yang tersebut hanyalah usaha penyokong parti, bukan iklan rasmi seperti yang diusahakan DAP. Dengan kadar penggunaan internet di Malaysia yang tinggi (sekitar 47.8% pada 2007), alam maya merupakan medan terbaik untuk kedua-dua parti berkempen dan kos untuk berkempen di alam maya boleh dikatakan amat rendah berbanding di TV. Cuma capaiannya tidak mungkin sehebat TV.
Jika di US, calon-calon terpaksa berhempas pulas menjawab pertanyaan isu dan manifesto yang dicanang mereka, di Malaysia bagaimana pula? Bagaimanakah sentimen isu mempengaruhi pilihan rakyat?Sejauh mana kebolehan pemimpin-pemimpin parti di Malaysia menjawab pelbagai isu dalam PRU nanti? Sama-sama kita perhatikan.
Apapun, sama-sama kita nantikan pengumuman tarikh-tarikh penting dari SPR.
Setakat ini sahaja untuk kali ini.Sekian Wasallam.