Alhamdulillah..semalam sempat aku meluangkan masa menonton debat antara Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Anwar ibrahim yang dikatakan ala debat pilihanraya presiden AS. Tahniah diucapkan kepada Datuk Shabery atas keterbukaan beliau sejak menjawat jawatan Menteri Penerangan. Bermula dengan slot blog, kemudiaannya dengan siaran lansung di parlimen dan yang terkini kesudiaan beliau untuk berdebat dengan Datuk Seri Anwar.
Cuma aku agak kecewa dengan perubahan di saat akhir penganjur yang memendekkan tempoh debat dari 90 minit kepada 60 minit. Ditambah pula dengan penukaran siaran stesen tv dari RTM kepada TV9, Astro Awani dan Bernama TV. Perubahan ini besar impaknya kerana pasti kawasan yang belum mendapat siaran TV9 seperti di pantai timur semenanjung dan pantai timur Malaysia pasti tidak berpeluang menonton debat bersejarah semalam. Melainkan mereka melanggan Astro atau mempunyai sambungan internet.
Bagi aku kedua-dua merupakan orator. Masing-masing mampu mencurahkan idea dan alasan dalam merasionalkan keputudan yang di ambil oleh pihak-pihak yang diwakili mereka. Hanya rakyat yang dapat menilai isi kandungan debat mereka semalam dan menentukan siapa yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan nasib mereka.
Cuma yang mahu aku coretkan di sini adalah beberapa kesilapan yang amat jelas aku perhatikan sewaktu Datuk Ahmad Shabery menyampaikan hujah beliau semalam.
Bagi aku kesilapan paling besar beliau adalah menyerang peribadi lawan dengan mengungkitkan kisah-kisah lalu. Aku yakin semua yang menonton dapat mendengar dengan jelas serangan-serangan yang ditujukan kepada Datuk Seri Anwar dimana serangan itu sama sekali tidak berkaitan lansung dengan isu harga minyak.
Dan apa yang lebih menyedihkan adalah kegagalan beliau untuk menjawab soalan yang dikemukakan saudara Zulkifli Sulong. Sebaliknya beliau memilih untuk menruskan serangan terhadap Datuk Seri Anwar daripada mengemukakan langkah-langkah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk membelanjakan wang 13 billion yang diperolehi hasil kenaikan harga minyak.
Kegagalan beliau untuk menutup setiap hujah beliau dengan baik juga amat mengecewakan. Ketika loceng dibunyikan beliau masih rancak mengutarakan hujahnya dan akhirnya terpaksa berhenti dengan tiba-tiba tanpa menutup hujah.
Berbeza sama sekali dengan Datuk Seri Anwar. ‘Timing’ beliau cukup baik. Masa digunakan dengan sebaik-baiknya oleh beliau untuk menerangkan idea-ideanya dan ditutup dengan baik tanpa tergesa-gesa untuk berhenti dengan tiba-tiba.
Pemilihan ahli panel juga memainkan peranan yang cukup penting. Datuk Nordin Kardi sememangnya seorang ahli akademik dan mempunyai pengetahuan yang luas. Tapi ini tidak bermakna beliau orang yang terbaik untuk menanyakan soalan kepada Datuk Seri Anwar. Kegagalan beliau untuk menanyakan soalan dengan baik telah diambil kesempatan sebaik mungkin oleh Datuk Seri Anwar. Kontra antara mereka begitu jelas kelihatan dan semestinya ia sekali lagi menyerlahkan kebolehan Datuk Seri Anwar dalam mematikan sama sekali soalan yang disampaikan beliau.
Berbeza dengan Saudara Zulkifli Sulong. Editor akhbar Siasah itu mampu menyampaikan soalan dengan baik walaupun tidak sama sekali dijawab oleh Datuk Shabery. Dan beliau juga tegas apabila membantah bila mana soalan yang dikemukakan beliau tidak dijawab.
Sesi penggulungan juga amat penting bagi aku. Malangnya, Datuk Ahmad Shabery gagal menyimpulkannya dengan baik dalam merasionalkan tindakan kerajaan menaikkan harga minyak. Tetapi beliau masih memilih untuk melakukan serangan kepada Datuk Seri Anwar. Berbeza juga dengan Datuk Seri Anwar. Beliau tahu apa yang patut diperkatakan pada sesi penggulungan. Beliau menekankan sekali lagi betapa parah krisis ini dan betapa pentingnya kebajikan rakyat dijaga.
Aku harap debat seperti ini tidak mati di sini. Moga selepas ini lebih ramai pihak yang berani untuk tampil dan mengadakan debat sebegini. Masih banyak lagi isu yang boleh kita bincangkan. Bukannya isu minyak sahaja yang penting kepada rakyat.
Debat semalam walaupun tidak panjang seperti debat pilihanraya presiden AS, ia lebih bermakna jika mahu dibandingkan dengan debat YB-YB di perlimen yang masih tidak berubah. Walaupun tidak mampu mencapi apa-apa resolusi seperti di parlimen, debat semalam berjalan dengan suasana tenang tanpa ada pihak yang mengeluarkan perkataan-perkataan yang tak sepatutnya seperti yang sering berlaku di dewan parlimen.
