Kebiasaannya, seorang pekerja yang datang lewat ke tempat kerja akan cuba sedaya upaya mengelak dari berdepan dengan majikannya. Dia akan masuk ke ruang kerja secara diam-diam tanpa disedari bosnya. ‘Sneaking’ kata omputih.
Begitu juga dengan seorang anak yang baru sahaja mendapat kad laporan peperiksaan akhir tahun yang penuh dakwat merah. Pasti dia akan menyembunyikan kad itu dan menjauhkan diri dari ibu bapa agar tidak terbongkar keputusan peperiksaannya.
Apatah lagi bagi penjenayah yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Lansung tidak mahu dia berdepan dengan orang ramai. Ditutup mukanya sehabis mampu. Dengan baju. Dengan surat khabar. Paling kurang akan disembunyikan mukanya dengan sebelah tangan.
Itulah sifat manusia. Dan itulah kelemahan manusia. Dia tidak bisa memalingkan mukanya dan bertentangan mata dengan orang yang disalahinya lantaran perasaan bersalah itu. Sebarang ‘eye-contact’ pada ketika itu akan cuba dielakkan oleh pesalah.
Sedar atau tidak, kelemahan inilah yang dimanipulasikan oleh syaitan pada manusia yang sememangnya sering melakukan dosa pada Allah swt. Syaitan membisikkan padanya yang dia sama sekali tidak layak untuk keampunan Allah swt. Dan dia juga tidak layak untuk mengadap kepada Allah swt memohon keampunan.Jikalau keampunan pun dirasakan tidak layak untuknya, apatah lagi dengan amal-amal kebaikan lain yang boleh menghapuskan dosa. Lantas dibisikkan lagi oleh syaitan..
“kau tak payah nak poyo ah pi program Islamik, pi dengar kuliah agama..ko tu kotor.penuh dosa.”
“ko pi masjid pun buat apa? orang selalu derhaka kat Allah macam ko ni tak layak ah pi sana”
“ko ingat sedekah ni blh tebus dan ampunkan dosa ko ke? tak yah ah..baik simpan wat belanje je”
Bisikan jahat sebeginilah yang membuatkan ramai antara kita merasakan program Islam atau amal soleh hanya untuk mereka yang bersih dan kuat Islamnya sahaja. Kita yang kotor ini tidak layak sama sekali. Lebih teruk lagi jika dijadikan indah pada padangan mata akan kemaksiatan yang dilakukan dan berterusan dalam gelumang maksiat itu.
Wahai sahbat-sahabatku sekalian, palingkanlah wajahmu kembali kepada Allah walaupun dosamu bagai lautan dan walaupun bermacam kesalahan yang telah kau lakukan. Allah sememangnya ingin mendengar rintihanmu meminta keampunan dan bertaubat kepadaNya.
Renungilah firman Allah dalam surah Az-Zumar, Surah Al-Baqarah serta hadith terakhir dari Hadith 40 ini:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (terjemahan Surah Az-Zumar ayat 53)

“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan.” (terjemahan Surah Az-Zumar ayat 54)

Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.
(terjemahan Surah al-Baqarah ayat 186)
Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih. Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Allah Ta’ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau, andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan untukmu keampunan sepenuh isi bumi.
(terjemahan hadith terakhir dari himpunan Hadith 40 imam Nawawi)
Bagaikan seorang anak kecil yang masih belum baligh dengan emaknya. Walaupun anak itu degil, ‘babel’, nakal dan tidak mendengar kata emaknya, hakikatnya dia masih di bawah jagaan emaknya. Hanya emaknya tempat anak itu bergantung harap, tempat menumpang kasih dan tempat berpaut untuk hidup. Tiada tempat lain untuk anak itu kembali melainkan kepada emaknya walau begitu banyak kesalahan yang dilakukannya terhadap si emak.
Begitulah juga kita dengan Allah. Sehina manapun kita dengan dosa-dosa, hanya Allah tempat kita kembali. Sijijik manapun kita dengan kemaksiatan, keampuanan dan kasihNya masih terbuka luas. Itulah hakikat kita di dunia ini. Sentiasa berada dibawah kekuasaan, pengawasan dan penjagaan Allah swt. Ketahuilah sahabat sekelian. Tiada dosa yang tidak diampunkan Allah swt melainkan dosa syirik kepadaNya.