Dalam satu buku yang ditulis oleh Dr Yusuf Qardawi (Priorities of the Islamic Movement in the Coming Phase), beliau ada menyentuh tentang satu aspek dalam pendidikan(tarbiyah) yang kurang ditekankan oleh kebanyakan gerakan Islam masa kini. Aspek atau perkara itu mungkin sudah menjadi budaya kehidupan dalam pekerjaan seharian terutama bagi mereka yang bergelar pelajar, saintis ataupun ahli akedemik. Bak kata omputih, somehow, bila terjun ke lapangan harakah islamiyyah, budaya itu gagal diterapkan atau dibawa bersama oleh sesetengah penggerak harakah itu. Dimanakah silapnya?
Mungkin selama ini kita nampak keperluan untuk membawa keluar budaya positif yang diterapkan menerusi solat, puasa, sedekah ke dalam kehidupan seharian.Tapi perkara sama tidak boleh berlaku untuk budaya saintifik dibawa kedalam gerakan Islam? Seakan-akan ada pemisahan pula dalam kehidupan kita. Mengapa intergasi itu gagal sedangkan ideologi saintifik lah yang telah memacu ketamadunan manusia sejak berkurun lamanya?
Dan bila disebut ideologi saintifik, ianya sama sekali tidak bermaksud segala perkara atau teknik yang diaplikasi ketika melakukan penyelidikan, eksperimen atau analisa data. Yang dimaksudkan oleh Dr Yusuf Qardawi adalah semangat dan budaya dari ideologi tersebut. Secara amnya, bila disebut pemikiran saintifik, seseorang itu tidak akan menerima satu pernyataan, keputusan tanpa diselidiki terlebih dahulu atau di sokong dengan bukti yang meyakinkan. Segalanya mesti bebas dari keraguan.
Dan disini aku senaraikan beberapa sifat ideologi saintifik yang penting dan amat diperlukan oleh gerakan Islam masa kini:
(Perlu diingatkan, tulisan ini ada sekadar nota berdasarkan pemahaman aku dan bukannya alih bahasa dari buku tersebut. Jadi, amat digalakkan untuk mereka yang beminat memahaminya dengan lebih lanjut mendapatkan buku ini dan membaca sendiri huraian Dr Yusuf Qaradawi.)
1. Meangadaptasi sikap berobjektif dalam setiap perkara atau situasi.
2. Mengadaptasi budaya pengkhususan. Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kepakaran masing-masing dan seharusnya ia disalurkan sebaik mungkin dalam gerak kerja Islami.
3. Bersikap terbuka, bersedia untuk dikritik, mengakui kesilapan dan belajar dari pengalaman dan kesilapan lepas. Elakkan mentaliti melihat sejarah lalu sebagai kejayaan dan kemeangan semata.
4. Menggunakan teknik yang terkini dan terbaik dalam setiap gerak kerja.
5. Segala keputusan dan penilaian perlu dibuat setelah kajian terperinci dibuat dan melihat kepada segala aspek. Dan ia juga perlu bebas dari pengaruh emosi dan kegopohan.
6. Menghormati pendapat orang lain dan mengambil bersikap berlapang dada selagi mana ia dikemukakan berdasarkan bukti atau data.








