Nur Kasih

Semuanya datang dari ‘rekemen’ sahabat-sahabat aku dan sememangnya semua filem itu adalah terbaik. Dan aku masih lagi menanti ‘rekemen’ filem-filem bermutu dari Malaysia. Aku kira kos pembikinan Laskar Pelangi sangatlah rendah kalau mahu dibandingkan dengan filem Cicak Man mahupun Impak Maksima (aku tonton kat Astro masa cuti musim panas yang lepas). Tapi masejnya cukup kuat dan mendalam jika mahu dibandingkan dengan 2 filem dari Malaysia itu.  Dimanakah silapnya?

Di atas adalah sebahagian dari komentar aku terhadap filem Laskar Pelangi. Nampak gayanya….sekarang aku terpaksa menarik balik kata-kata itu dek kerana satu drama ini sahaja. Nur Kasih.

Aku pasti semua dah tonton drama ni. Aku pun dah setelah direkemen oleh sahabat-sahabat di sini. Malah tak sabar-sabar untuk menunggu episod seterusnya.

Ia sememangnya bukan filem seperti Laskar Pelangi. Sekadar drama hujung minggu sahaja. Tapi kualitinya bagi aku cukup memukau.

Iye! Aku ni bukanlah orang seni untuk menilai mahupun memberi sikit padangan tentang kualiti drama ni. Tapi sekali tonton dah dapat rasa kelainan dari segi pencahyaan, gerak kamera, angle kamera, and scene background. Memang mantap. Aku pun tak tau nak describe macam mana. Yang tonton drama ni pasti tau bagaimana.

Contoh yang paling aku ingat ketika Nur Amina ngan Adam duduk diruang tamu rumah Ustaz Hassan. Lawa je pohon-pohon di luar tingkap dan langsir bergerak ditiup angin. Memang hidup. Suasana kampung dalam drama ni memang menjadi. Dengan sawah, pokok, masjid buruk, pekan koboi, teksi buruk, kenduri kendara dll.

Jalan cerita pun tak kalah. Cuma aku rasa tak patut dikeluarkan sinopsis. Kurang syok jadinya sebab tengah menonton dah tau kesudahannya sikit sebanyak.

Masej dan kritikan yang cuba dibawa oleh Khabir Bhatia bagi aku cukup menjadikan drama ni lain dari lain. Pedas dan tajam! Dari kritikan terhadap cara masyarakat kita membawa Islam, berdakwah, mendidik anak hinggalah kepada paparan pelbagai ragam manusia, semuanya disampaikan seiring dengan plot cerita. Bukan sekadar kisah cinta semata-mata yang sangat stereotype dalam kebanyakan drama Melayu yang tidak membawa apa-apa masej bermakna. Bukan juga kisah yang berlatarbelakangkan orang Melayu kebaratan/urban yang miskin identiti (kecuali Adam.haha).

Cuma ada beberapa bahagian yang tak logik. Contohnya bila Adam boleh tiba-tiba ubah keputusan untuk balik ke Malaysia dan membatalkan hasrat untuk pulang menyambung semula pengajian ketika berada di Malaysia. Seolah-olah beli tiket kapal terbang ni macam beli tiket bas lompat je. Satu lagi bila dia tangguhkan pengajian untuk balik ziarah ayah. Tak semudah itu untuk menangguhkan pengajian lebih-lebih lagi jika Adam tu ada penaja.

Apapun, kira ok la drama ni. Harap boleh Malaysia keluar banyak lagi drama berkualiti macam ni.

Sekian Wasallam

“Orang kita selalu pilih-pilih hukum agama sesuka hati..adat disanjung lebih daripada hukum”

Satu Pemerhatian

Ketika melintasi Chicago dalam perjalanan balik semalam dan 2 hari lepas, aku berpeluang melihat sedikit sebanyak kesan krisis ekonomi yang melanda industri automotif di AS. Pemandangan di sekitar suburb Chicago tidak lagi seperti dulu. Jika dulu bersinar-sinar deretan kereta perbagai jenama buatan AS dan luar negara dapat diperhatikan di sekitar premis di tepi jalan. Lambang ‘American Dreams’ yang dibanggakan mereka. Tapi sekarang suasananya agak berbeza. Banyak ruang tempat letak kereta di premis menjual  kereta sudah lengang dan kosong. Malah ada bilik pameran yang telah ditutup dan berhenti beroperasi. Kebanyakannya adalah premis yang menjual jenama Ford, Chevy, dan Chrysler. Mungkin ini adalah kesan daripada langkah pengurangan pengeluaran yang diambil ketiga-tiga syarikat berkenaan awal tahun ini. Dan yang masih dapat meneruskan perniagaan pula tampil dengan pelbagai tawaran yang tak masuk akal dulu seperti 0% pinjaman.

Spring Break

Salam to all,

Alhamdulillah..spring break sudah tiba. Cuti aku dah bermula semalam selepas 2 kelas dibatalkan oleh pensyarah.

InsyaAllah spring break kali ini memberi peluang sekali lagi untuk keluar dari West Lafayette. 4 hari dari 10 hari cuti kali ini akan dihabiskan di bahagian utara atau lebih spesifik lagi ke Twin Cities, Minnepolis. Dekat tempat jambatan I-35W yang runtuh tahun 2007 tu. Tak la jauh sangat tempatnya. 9 jam je kalo gerak dengan kereta tanpa henti. Dan kali ini rombongan cik kiah dari West Lafayette ke Minnepolis terdiri dari sebuah minivan dan 2 kereta. Ramai tuh!!

Aku pun tak tahu apa yang ada di Minnesota. Yang ku tahu hanyalah Mall of America. Gedung ke-2 terbesar di negara uncle sam ini. Tapi mall tu kecik je kalo nak dibandingkan dgn Berjaya Times Square (boleh tahan jugak shopping complex  kat Malaysia ni..haha).  Dan menurut kawan aku sorang kat Minne..minne bermaksud ‘water’. Sesuai dengan gelarannya sebagai ‘tanah sepuluh ribu tasik’ atau ‘Land of 10,000 Lakes’. Haha. Dan insyaAllah juga akan singgah di Wisconsin dan Chicago dalam perjalanan pulang.

Apapun, doakan perjalanan kami selamat pergi dan selamat pulang serta dirahmati Allah swt.

Sekian Wasallam

Cuti Musim Sejuk

Ini sekadar catatan pengalaman peribadi. Mengambil masa lebih sebulan untuk disiapkan(aku tulis sikit-sikit). 

Perancangan awal hanya melibatkan Houston, New Orleans dan Florida. Tetapi beberapa perubahan berlaku di peringkat awal.

Hari Pertama:

Misi pertama adalah menjemput Ansari dan Jani di UIUC. Sebuah van dan sebuah kereta dihantar khas ke sana. Selesai menjamah Pizza yang di taja Ansari, kami terus bergerak ke Nashville. Perjalanan yang asalnya 5 jam menjadi 7 jam dek kerana GPS tersilap kira. Sampai di Nashville, kami di sambut oleh Nasir yang juga turut bertanggungjawab menguruskan tempat tinggal untuk 26 ahli rombangan dari West Lafayette. Terima kasih bebanyak diucapkan pada Saudara Nasir.

sdc11139

Hari kedua:

Perancangan kami sedikit berubah. Kami satu van mengemabil keputusan untuk meninggalkan Nashville lebih awal bagi melakukan lawatan mengejut ke Memphis dan Dallas. Sebelum bertolak, sempat singgah di Nashville Airport dan pusing-pusing sekitar Vandy. Perjalanan ke Memphis mengambil masa 3 jam. Kami bertolak selepas makan tengah hari dan solat di Best of India. Jadi sampailah di Memphis pada waktu malam. Tiada apa yang menarik. Sekadar singgah di Sun Studio dan bergambar di tepi sungai Missisipi yang berlatarbelakangkan jambatan ini. Pukul 10, kami bergerak menuju ke Dallas. Perjalanan di pagi hari ini mengambil masa 7 jam.

Hari ketiga:

Sampai di Dallas kira-kira jam 6:00 pagi. Setelah puas meronda-ronda kami singgah di Stesen minyak 7E untuk berehat dan ambil wuduk. Selepas setengah jam berhenti dan melepak disitu, penjaga kedai tiba-tiba keluar dan mengadu tandasnya basah(paham-paham je la apa sebabnya). Tanpa banyak sonyeh, kami dihalau bagai kucing kurap. Sedih mengenangkan tiada tempat solat, kami berhenti untuk solat di premis perniagaan. Terpaksa berambus dengan cepat bila guard keluar untuk menunjau kami. Selesai solat kami ke Thanksgiving square di tengah bandar Dallas. Kemudian ronda-ronda di tengah bandar ini. Bangunannya cantik. Selesai meronda, kami ke Walmart mencari alas perut dan kemudian mencari Masjid untuk berehat. Banyak rupanya masjid di Dallas. Tapi kesemuanya tutup. Tapi menjelang solat Jumaat kami berjaya menjumpai Masjid Church. Sedikit tentang Masjid ini. Keaadannya sungguh menyedihkan. Agak daif. Makmum pula boleh dibilang dengan jari. Tak sampai 30 orang pun untuk solat jumaat hari itu termasuk kami. Tapi khutbahnya..MasyaAllah. Sungguh mantap.”Faith as the Foundation of Life’ tajuknya. Susah nak jumpa khutbah seperti di Masjid tu kat Malaysia. Selesai solat, kami terus bergerak ke Houston. Perjalanan ke Houston mengambil masa 3 jam. Sepanjang perjalanan, kami dihidangkan dengan permandangan padang rumput yang indah dan luas mata memandang. Tiba di Houston jam 8:00 malam. Mendaftar diri dan bersiap untuk bermuktamar.

sdc11256

Hari keempat hingga keenam(27-20 Dec) adalah waktu bermuktamar. Tak mampu aku untuk kisahkan semuanya di sini. Mungkin boleh baca Titian Fitrah edisi Muktamar untuk mengetahui kisah di Hilton Westchase tempoh hari. Boleh download secara percuma di misgonline.com.

Hari Ketujuh:

Kami bertolak dari Hilton Westchase kira-kira jam 2 petang dan terus menuju ke New Orleans. Perjalanan yang mengambil masa 5 jam ini terlah menghidangkan kami dengan permandangan hutan paya. Hampir sama permandangan dengan kawasan pantai   Terengganu jika anda bergerak dari Batu Rakit hingga ke Setiu.  Dalam perjalanan, kami melalui landmark New Orleans iaitu CCC. Kami tiba di New Orleans hampir jam 8 dan terus check in hotel. Misi mencari makanan malam itu diteruskan  selepas berehat sekejap. Kami silap dalam merancang kerana tidak menyangka premis perniagaan di New Orleans tutup awal sekitar jam 10. Walaubagaimanapun, nasib kami baik kerana masih ada yang sudi kerana sebuah Papa John’s sudi menerima kami sebagai pelanggan walaupun mereka sudah tutup.

img_2413

Hari kelapan:

Kami meneruskan program satu hari jalan-jalan di New Orleans. Kesan pembangunan semula New Orleans selepas dilanda Katrina memang dirasai. Banyak jalan-jalan lama yang gagal dikesan oleh GPS dan kami terpaksa berlegar-legar di dalam bandar ini dek kerana itu. Awal pagi kami ke museum sekitar bandar New Orleans. Tapi yang berjaya kami masuki hanyalah WWII Museum. Selesai melawat museum kami ke bulatan terkenal di tengah bandar ini. Dah lupa namanya. Selesai melepak di bulatan itu kami terus mencari Salt and Papper. Sebuah kedai makan halal. Walaupun halal, service dan kualiti makanannya amat buruk. Malas nak cerita panjang-panjang. Kehidupan malam tahun baru kami di New Orleans diteruskan dengan perjalanan mencari French Market. Kami turut melalui Bourbon Street dalam perjalanan itu. Lorong ini sangat ‘kotor’ dan ‘gelap’ bagi aku. Bacalah sendiri apa yang ada disitu.  Sampai di French Market, kami terus menikmati kopi di Cafe Du Monde. Sebuah kedai kopi yang tersangat popular di New Orleans. Orang kata, tak sah tak datang sini kalau dah sampai New Orleans. Sungguh kaw kopi di sini. Paling kaw pernah aku rasa. Kesedapan roti Beignets yang dihidangkan bersama kopi juga tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Apa yang menarik tentang kedai ini, ia mempunyai jumlah pekerja yang luar biasa ramainya. Aku pun tak tahu mengapa. Selesai melepaskan hajat di Cafe Du Monde dan French Market, kami terus keluar dari New Orleans menuju ke Florida.

img_2422

Hari kesembilan:

Kami tiba di Florida pada subuh hari. Selesai solat sekadar lepak dan pusing-pusing disekitar Orange County sementara menunggu kedai menyewa basikal buka. Kami berbasikal lebih kurang jam 11 selama 1 jam. Sungguh cantik kawasannya dikelilingi tasik-tasik yang sederhana besarnya. Suhunya juga tak sejuk dan tak pula panas. Ada kebun-kebun oren di sepanjang jalan. Memang mendamaikan kawasan ini. Tapi tak leh lawan kg aku..haha. Selesai berehat, kami terus bergerak ke Ramada untuk check in dan berehat setelah letih dalam perlajanan dari New orleans semalam. Dan rehat yang cukup memang perlu sebelum menghabiskan masa sehari di Sea World esok harinya. 

Hari kesepuluh:

Kami ke Sea World. Tiketnya adalah pakej bersama tiket untuk ke Busch Garden yang berharga kira-kira $99. Taman tema ini bukan sekadar untuk melihat hidupan laut sahaja, tapi turut menawarkan permainan yang sesuai untuk semua golongan. Tapi aku tak cuba semua la. Tengok la sendiri apa yang ada kat sini. Yang paling menarik sekali kat sini semestinya pertunjukan(animal show). Ada pertunjukan ikan lumba-lumba, singa laut, shark dll. Kagum aku lihat koordinasi mereka yang cukup kemas. Nak tercabut kaki berjalan dalam ni. Letih berjalan, kami pulang jam 8:00 malam iaitu waktu Sea Wolrd ni ditutup. Memang memanfaatkan semaksimum mungkin waktu yang diperuntukkan. Dan bermula di Sea World jugalah aku merasa seperti berada di Amerika Latin. Kiri kanan orang cakap Spanish.

Hari kesebelas:

Tempat yang paling aku nantikan. JFK Space Center. Yang ni lebih kurang 1 jam dari Orlando. Tapi bukan keseluruhan center la kami pi. Tak lawat la launch pad roket tu. Cocoa Beach pun tak pi. Sekadar melawat visitor center je. Tempatnya kecil dan tak ramai pelawat. Tapi bermacam-macam aktiviti menarik. Antaranya adalah tayangan 3D, launch simulator, meet the astronauts dll. Walaupun kecik, yang ni pun kami masuk full. Dari pagi sampai maghrib. Sebelum pulang singgah sebentar di Astronaut Hall of Fame. Ianya sekadar tempat pameran. Tiada apa yang menarik.

016

Hari kedua belas:

Ini hari kami ke lokasi terkahir untuk Orlando iaitu Universal Studio. Kalau diikutkan tempat ni tak la kena sangat dengan jiwa aku walaupun macam-macam ada kat sini. Kebanyakannya adalah pertunjukan yang berkaitan dengan  pembikinan filem. Yang paling menarik bagi aku adalah tayangan Shrek 4D dan horror make up show. Dan nak masuk satu-satu  kat sini kena melalui barisan yang sangat panjang dek kerana pengunjung yang sangat ramai. Memang sangat melatih kesabaran. Dan Universal Studio ni memang agak tidak sesuai untuk dilawati bagi mereka yang mempunyai sakit jantung, ibu mengandung atau sakit badan. Kalau mahu datang juga, sekadar pusing-pusing je la. Sekali lagi kami masuk pada pagi dan keluar pada waktu malam selepas  ianya ditutup.

Hari ketiga belas:

Kami bergerak menuju ke Miami, sebuah lagi destinasi menarik. Sampai di city of Miami,  jalannya sangat berputar belit, banyak lorong dan trak-trak besar bersepahan. Sangat  menakutkan memandu di sini jika mahu dibandingkan dengan Chicago(tapi trafik di Malysia paling menakutkan setakat ini). Sebaik sampai kami terus ek Bayside.hajatnya mahu naik belon panas, tapi premis belon panas tu dah berbulan tutup. Selepas hajat tak kesampaian kami ke South Beach untuk meninjau pantai. Sekali lagi kami dihidangkan dengan permandangan Biscayne Bay yang cantik ketika merentasi Interstate 195. Cantik pantai South Beach dengan camar laut berterbangan. Letih bermain di Pantai kami pulang dan check-in hotel.

sdc12318

Hari keempat belas:

Perancangan awalnya kami mahu terus ke Key West. Tapi dek kerana belum puas bermain pantai, kami turun ke North Beach sekejap. Usai main pantai, kami terus ke Key West. Florida Keys ni adalah gugusan pulau-palau di bahagian paling selatan di AS. Dan sepanjang perjalanan ke Key West kami dihidangkan dengan pemandangan penempatan tepi laut dan pulau. Tentunya tak sama dengan pemandangan di pesisir pantai Terengganu yang agak daif taraf hidup penduduknya. Jauh bezanya bagaikan langit dan bumi. Kami solat asar di pantai key west dan lepak di situ sambil menunggu matahari terbenam. Subhanallah..cantik sekali pemandangannya. Sebelum bergerak keluar dari Key West, kami singgah di downtown untuk makan dan membeli cenderamata. Takut juga sebenarnya melihat maksiat yang bergelimpangan di Pulau ni. Rasa nak cepat keluar dari Pulau kecik ni. Kalau Allah nak turun bala, bila-bila masa je. Setelah kekenyangan di SUbway, kami terus bergerak keluar dari Florida Keys menuju ke Tampa yang mengambil masa lebih kurang 7 jam (masih lagi di Florida). Kami bermalam dalam van sahaja malam itu.

088

Hari kelima belas:

Kami tiba di Tampa kira-kira jam 5:00 pagi. Selesai solat di depan Wal Mart dan sarapan kami terus ke Busch Farden dan menunggu pintu taman ini dibuka. Busch Garden ni taman ala Afrika. Dalam ni kiranya ada bermacam-macam binatang dari Africa. Ada sykride, Rhino Rally. Ada juga permainan ala-ala funfair. Dan ada juga 7 jenis roller coster kalau tak silap. Tapi satu pun aku tak naik. Tak mampu la beb..

Hari keenam belas:

Kami sambung lagi berjalan-jalan di Busch Garden demi memehuni hajat beberapa pihak yang mahu menaiki roller coaster agong. Masuk tengah hari, kami bergerak ke aldang oren. Kami selesai memetik oren pabila maghrib masuk dan terus bergerak pulang menuju ke West Lafayette. Perjalanan pulang mengambil masa 17 jam(19 jam termasuk berhenti).

img_29001

Posted in Life. 4 Comments »

Kopi

Salah satu tabiat baru yang aku dapat setelah 2 tahun di sini adalah minum kopi. Bukan setakat minum. Kat Malaysia pun minum kopi macam biasa. Tapi sekarang dah macam ketagih. Sekurang-kurangnya sehari kena perkena sekali. Tak kira waktu. Kalau tak dapat pagi, petang masih ada. Tak dapat petang, malam mesti dapatkan. Tak kira sama ada cari di kedai atau buat sendiri di rumah. Tapi tak lebih dari 2 kali la setiap hari.

Di sini, kedai yang menjual kopi bertebaran dimerata-rata. Al-maklumlah..Starbucks pun lahir di sini. Dan rasanya pun bermacam-macam. Mungkin itulah yang membuatkan aku ketagih kopi di sini. Dan kalau ke gas station pun, aku biasanya tak akan melepaskan peluang untuk mengangkat secawan kopi. Tambahan pula ketika musim sejuk sebegini, kopi panas memang nikmat untuk sepanjang masa. 

Ketika winter baru ini, kopi tidak terlepas dari menjadi subjek pelancongan aku dan rombongan. Sanggup berjalan hampir setengah jam di tengah bandar New Orleans di malam tahun baru untuk mencari kopi Cafe de Monde di French Market. Alhamdulillah..usaha kami tidak sia-sia. Itulah rasanya kopi yang paling ‘kaw’ pernah aku nikmati. Dan ketika di Miami, kami sekali lagi keluar memburu Cuban coffee. Rasanya pun boleh tahan bagi aku. Tapi masih tidak dapat menandingi kopi di Cafe de Monde.  

Satu perkara yang menarik aku perhatikan ialah cara orang di sini minum kopi. Jika di Malaysia, nak minum kopi kena ke kedai. Ambil order dan tunggu beberapa lama sebelum dihidangkan. Ia tak habis disitu. Sambil minum, sambil borak. Bagi yang merokok, sambil minum, sambil pekena sebatang. Akhirnya, masa yang dihabiskan di kedai kopi boleh sampai sejam.

Berbeza sekali dengan cara orang di sini minum kopi.  Kedai kopi di sini sangat tidak kondusif untuk anda melepak. Di Starbucks contohnya, kopi tidak dihidangkan dalam cawan kaca, tetapi di dalam cawan kertas. Meja di starbucks biasanya kecil dan kerusinya pula keras. Di dalamnya tidak dibenarkan merokok. Dan sememangnya bukan budaya orang disini minum  kopi sambil melepak. Kopi yang dibeli biasanya disediakan sendiri dalam cawan kertas dan dibawa ke tempat kerja untuk dinikmati. Kalau di kampus, mungkin ke perpustakaan atau ke kelas. Ya. Ada juga kedai kopi yang menyediakan tempat lepak. Tapi jumlahnya amat kecil dan kedai kopi sebegini sememangnya menghadapi persaingan dengan kopi yang ditawarkan di premis segera seperti Starbucks, McD dan Dunkin.  

Sama ada anda setuju atau tidak, budaya minum kopi di sini bagi aku sikit sebanyak menggambarkan cara penghargaan dan penggunaan masa masyarakat di sini.

Sekian..

 

Black Gold
dokumentari menarik tentang ekonomi kopi

Bermusafir

 

Sekadar catatan pendek. Untuk dua minggu lebih yang akan datang insyaAllah aku tiada dirumah kerana bermusafir sempena cuti musim sejuk. Blog ini juga tidak akan dibuka untuk satu tempoh masa dan komen akan di’moderate’(mcm la byk sgt org komen kat blog ni). InsyaAllah aku akan ke Houston untuk bermuktamar dan singgah sekejap di New Orleans sebelum ke Florida untuk berjalan-jalan. Tiada apa yang aku pinta selain doa dari kalian semua agar perjalanan aku dan rakan-rakan selamat.

Sekian Wasallam.

Finals

ECON352
Monday 12/15
8:00am-10:00am EST   PHSY 203

MGMT310
Tuesday 12/16
8:00am-10:00am EST LAMB F101

MA351
Thursday 12/18
1:00pm-3:00pm EST KRAN G016

ps: kalau rajin, tolong doakan aku terang hati dan dapat jawab soalan-soalan dengan baik.

Posted in Life. 6 Comments »

Terima Kasih

Terima kasih untuk semua ucapan.

Terima kasih untuk segala doa.

Terima kasih untuk satu ‘kejutan’.
(nasib baik aku tak sakit jantung)

Terima kasih belake!

Jazakallah khairan khasira

Buah Tangan

Assalamualaikum.

Dua minggu lalu aku telah berjanji dengan rakan-rakan usrah untuk menulis sedikit tentang kisah Joe The Plumber yang kami bincangkan dalam usrah selepas melihatnya dari perspektif Islam. Walaubagaimanapun, dek kerana aku merasa tidak mampu untuk menulis tentang isu itu, aku mohon untuk mengantikannya dengan perkongsian dari kuliah MSA retreat 2 minggu lepas berkenaan 4 imam besar mazhab. Mungkin dah ramai yang mengetahuinya. Kalau dah tahu, mungkin ini sebagai peringatan untuk anda amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Ada paham?

Rasanya semua dah belajar pasal keempat-empat imam besar ni sewaktu SPM kan?? Soalnya antara ingat atau tidak sahaja. Kalau selalu lupa cam aku, boleh buka sini, sini, sini dan sini. Sebab bukan itu yang mahu ku kongsikan di sini.

Alhamdulillah..Dalam MSA Retreat tu, basically hanya 100% talk oleh Syeikh Bachir. Agak berbeza sedikit dengan Islamic Fall Retreat Purdue. Walaupun kedua-duanya ‘retreat’. Tapi konsep kedua-duanya sangat berbeza.

Dalam kuliah bersama Syeikh Bachir, beliau telah menelusuri riwayat hidup 4 Imam besar ini bermula dari Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad Bin Hanbal. Kisah hidup mereka memang unik dan bukanlah untuk sekadar bacaan atau cerita di waktu lapang atau untuk di’luah’kan didewan peperiksaan, tapi untuk dijadikan renungan dan panduan hidup.    

Disini aku catatkan sedikit sebanyak pengajaran penting yang aku perolehi dari kuliah Syeikh Bachir ini. Kebanyakannya adalah isi pembentangan Syeikh Bachir sendiri dan ada beberapa yang aku terpikir. Segalanya terdedah kepada kesilapan. Komen, kritikan, pembetulan atau penambahan amat dialu-alukan.

1. Sunnah menuntut ilmu. Menuntut dan mendalami ilmu terutamanya ilmu Islam adalah satu proses yang panjang. Kesemua imam ini menghabiskan keseluruhan hidup mereka selama berpuluh-puluh tahun untuk menjadi imam mujtahid. Malah mereka berguru dan mengembara ke merata tempat untuk mencari guru dan mencari sumber hadith. Pendek kata, menuntut ilmu adalah satu proses yang panjang dan memerlukan pengorbanan. Bukan setakat selepas habis sekolah atau selepas selesai ijazah pertama. Dan menuntut ilmu perlukan guru, bukannya berguru pada ’syeikh google’ semata.       

2. Bersedia sebelum ke kelas. Dikisahkan juga tentang ketajaman akal dan kesungguhan Imam Syafie dalam menuntut ilmu. Beliau terlebih dahulu menghafal kitab al-Muwatta pada usia 10 tahun sebelum pergi ke Madinah pada usia 13 tahun untuk menuntut dengan penulis kitab itu iaitu Imam Malik. 

3. Ringankan mulut untuk berkata ‘tidak’ jika tidak tahu. Keempat imam besar ini sangat la berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa. Contoh yang terbaik adalah Imam Malik dimana diriwayatkan pada satu ketika, beliau diajukan sebanyak 40 soalan dan diwajab beliau dengan ‘aku tidak tahu’ kepada 32 daripadanya. Dalam satu kisah lain, beliau menyatakan bahawa beliau tidak akan memberikan fatwa sebelum 70 ulama Madinah yang mengiktiraf kelayakan beliau. Antara kata-kata beliau yang masyur(dalam bahasa inggeris)

“The shield of the scholar is, ‘I do not know,’ so if he neglects it, his statement is attacked.”

4. Belajar sesuatu yang diluar dari bidang kita. Diriwayatkan bahawa Imam Syafie merupakan seorang yang bukan sakadar seorang alim dalam bidang fiqh, malah pandai bersyair, handal memanah, menunggang kuda dan mendalami ilmu genealogi. Menurut Syeikh Bachir, mendalami sesuatu yang diluar dari bidang kita boleh membantu seseorang itu memahami orang lain dan dekat dengan masyarakat.  

5. Peranan ibu. Tiga dari 4 imam besar ini (kecuali Imam Abu Hanifah) mendapat didikan dan pengaruh yang sangat kuat dari ibu masing-masing untuk menuntut ilmu. Malah, bapa mereka ada yang meninggal sebelum lahir (Imam Ahmad) dan meninggal ketika kecil (Imam Syafie). Peranan ibu dalam mencorak mereka pada peringkat awal usia sangatlah besar. Menurut Syeikh Bachir, bukanlah menafikan peranan bapa, tapi sekadar mahu menekankan soal pembentukan anak yang bermula dari peringkat pemilihan ibunya kerana ibulah yang akan meluangkan lebih masa bersama anak.  Pesanan syeikh Bachir sangat ringkas-be highly selective and don’t pick up from streets

6. Jangan pernah merasa terlambat untuk menuntut atau mendalami ilmu agama.  Berbeza dengan Imam lain, Imam Abu Hanifah hanya mula menyertai halaqah ilmu dibawah Imam Hammad ibn Sulayman pada umur 22 tahun selepas bertemu dengan Amir as-Shabi dalam perjalanannya untuk berdagang. Selepas pertemuannya itu, beliau mula menuntut dibawah halaqah Imam Hammad ibn Sulayman hingga mengambil alih tempat gurunya itu pada usia 40 tahun. Ilmu tak mengenal usia. Dan ilmu juga tidak terhad kepada pelajar-pelajar sepenuh masa sahaja seperti yang ditunjukkan dalam kisah Imam Abu Hanifah itu dimana beliau pada mulanya hanyalah seorang pedangang.  

Setakat itu sahaja yang mampu aku kongsikan. Diulangi, sebarang komen, kritikan, pembetulan atau penambahan amat dialu-alukan.

Sekian Wasallam

Ambil Mudah

Assalamualaikum

Mungkin ramai yang dah tahu tentang perkara ni. Tapi aku baru je tahu. Nak buat macam mana. Takde orang nak bagi tahu dan kejahilan diri sendiri yang tidak cukup menyelidik.

Bila berada di luar negara, isu yang selalu dan pertama kali mendapat perhatian adalah soal makanan terutamanya soal katok. Sampaikan perbahasan di blog-blog boleh menjadi begitu emosi kerana isu ini. Malah bila berada di tanah air beberapa bulan lalu, soal makanan la yang menjadi pertanyaan utama. Memang tak ramai yang bertanya tentang urusan muamalat di sini terutama tentang halal haram transaksi kewangan di negara berasaskan kapitalisme ini.

Di sini, kad merupakan medium utama transaksi dalam jual beli. Penggunaan kad jarang dibicarakan dan dispersoalkan haram atau halal oleh kita. Isu katok lebih sensitif gamaknya. Dan bila sampai kepada soal penggunaan kredit kad, ramai antara kita sendiri yang ambil mudah. Ramai yang mengatakan tak salah menggunakannya kalau bayar tepat pada waktu.

Dulu aku memandang biasa statement sebegitu tanpa ada rasa sensitiviti. Terus menggunakan kredit kad (bila-bila masa, dimana saja) dengan anggapan sudah terlepas dari riba dengan syarat bayar on time.  Tapi alhamdulillah, persoalan aku sudah terjawab hari ini setelah mendengar rakaman kuliah Ustaz Zaharuddin ini. Boleh dengar pandangan beliau mengenai penggunaan kad kredit tanpa tangguhan bayaran pada minit ke 15 rakaman itu.  Kuliah tu membicarakan secara details tentang jenis-jenis riba.

Menurut Ustaz  Zaharuddin, dimana ’slack’nya transaksi kad kredit yang digunakan disini adalah komisen yang dibayar oleh penjual(Wal-Mart, stesen minyak, Amazon etc) kepada syarikat kad kredit selepas transaksi dilakukan. Secara tak lansung kita menyumbang keuntungan dan memberi sokongan kepada sistem kewangan ini. Walaupun tiada riba dibayar secara lansung atau ‘direct’. Boleh dengar sendiri rakaman tu. Boleh juga baca di sini, sini, sini, sini dan sini mengenai penggunaan kad kredit konvensional.

Tidak dinafikan, ada beberapa urusan yang tiada alternatifnya di sini. Yang selalu kita hadapi adalah bila mahu menyewa kereta atau membayar premium insurans. Mengenai hal tu, baca ulasan Ustaz Zaharuddin di sini. Masalah ni kena buat penyelidikan lagi. Kalau sesiapa ada jumpa pandangan atau komentar dari ulama atau ahli akedemik lain mengenai isu ni, jangan la segan untuk berkongsi.

Menyedari isu ini agak sensitif, aku berfikir banyak kali sebelum berkongsi mengenainya. Suka atau tidak, kena tulis jugak. Dan la aku ni jenis orang yang susah nak tegur depan-depan.

Akhir kata janganlah ambil mudah tentang riba dalam kehidupan seharian. Aku akhiri tulisan ini dengan 2 video dari kuliah Ustaz Zaharuddin dan 2 ayat quran untuk peringatan semua. Perkongsian lain mengenai subjek ni amat dialu-alukan. Sekian Wasallam.

-terjemahan Surah al-Baqarah ayat 278 dan 279

 يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِىَ مِنَ ٱلرِّبَوٰٓاْ إِن كُنتُم مُّؤۡمِنِينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. (2:278)

 فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُواْ فَأۡذَنُواْ بِحَرۡبٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ‌ۖ وَإِن تُبۡتُمۡ فَلَڪُمۡ رُءُوسُ أَمۡوَٲلِڪُمۡ لَا تَظۡلِمُونَ وَلَا تُظۡلَمُونَ 
Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.(2:279)


Posted in Islam, Life. 2 Comments »