Sekali lagi FAM menerima kritikan apabila mengambil keputusan untuk menutup pintu kepada pemain import musim depan. Tak cukup dengan beberapa laporan mengenai gaji tertunggak yang melanda beberapa pasukan dan isu rasuah dalam beberapa pasukan, isu pemain import ini kembali menghantui bola sepak Negara.
Dan tujuan aku menulis artikel ini bukanlah untuk melakukan perkara yang sama kepada FAM. Aku bukanlah seorang yang arif sangat mengenai dunia bola sepak apatah lagi tahu tentang selok belok permainan dan corak taktikal di atas padang. Cuma sebagai peminat yang masih setia dengan bola sepak tempatan, aku rasa tak salah jika aku mahu mempersoalkan tindakan FAM yang sering berbolak-balik dalam membuat keputusan.
Seperti yang umum ketahui, semalam FAM telah mengumumkan bahawa tiada lagi pemain import untuk musim depan. Nadanya hampir serupa ketika penutupan dibuat pada tahun 1999 hingga 2001. Mahu memberi pemain tempatan ruang untuk beraksi. Jika FAM sedar akan kekurangan tempat bagi pemain tempatan, mengapa membukanya kembali pada tahun 2002 dan kemudian kembali mengarahkan supaya ditutup untuk musim 2009? Adakah FAM mempunyai kertas kajian yang menyeluruh mengenai isu pemain import ini atau hanya berpandukan kepada sesi percambahan fikiran beberapa minggu lalu? Jika ada, mengapa tidak didedahkan sahaja hasil kajian itu kepada peminat? Dan sampai bila pintu itu mahu ditutup? Sampai Malaysia mampu melepasi ranking ke-100? Atau sampai Malaysia terperosok ke tangga 200?
Saban musim, semakin banyak jumlah pasukan yang menyertai Liga Super. Bermula daripada 8 pasukan ketika ia diperkenalkan pada 2004, hinggalah kepda 14 pasukan untuk musim depan. Teringat aku akan alasan FAM memperkenalkan Liga Super yang bermula dengan 8 pasukan. Liga antara 8 pasukan ini akan memberi lebih persaingan dan seterusnya merancakkan liga tempatan. Dan lihatlah setelah 5 tahun ia berjalan jumlah pasukannya tak ubah seperti Liga Perdana pada tahun 2002 dan 2003 dahulu. Yang beza pada aku hanyalah nama. Persoalan aku kepada FAM, apa beza Liga Super sekarang dengan Liga Perdana dulu?
Mengenai perubahan jadual musim yang akan berlansung dari Januari hingga Oktober, aku juga mahu mempersoalkannya. Tapi oleh kerana tidak cukup fakta, aku tangguhkan dulu hajat itu.
Kepada FAM, tolonglah telus dan tegas dalam membuat keputusan. Diakui, perubahan dalam kepimpinan kadang-kadang mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh FAM. Tapi ia sama sekali tidak harus membelakangkan kepentingan bola sepak tanah air. Bola sepak bukanlah bahan eksperimen. Penantian selama 20 tahun (sama tempohnya dengan umurku) untuk melihat bola sepak Malaysia kembali bersaing di pentas ASIA sungguh lama.
PS: Tahniah kepada pasukan T-Team yang Berjaya masuk ke Liga Perdana musim depan. Semoga pembangunan dan kemajuan bola sepak di Terengganu terus subur seiring dengan kepesatan pembangunan fizikal di negeri ini.
