Makin Kotor

Nampaknya gencatan senjata yang dicadangkan ketua AMAN Malaysia, Datuk Mukhriz bagi menyedarkan rakyat tentang penderitaan rakyat Palestin tidak menjadi kenyataan. Yang jadi adalah sebaliknya. Kempen PRk P036 khabarnya makin kotor. Koyak pemidang la..Dedah surat tahun 1998 la.. Gadis yang berkaraoke bersama calon pun dijadikan isu..Turut mengejutkan apabila pegawai pengurus PRK ini telah menarik diri walaupun tinggal satu hari sebelum hari mengundi. Entah la.. Mungkin betul agaknya yang orang politik memang susah nak berdamai dan duduk diam sehari. Memang la gencatan senjata itu tiada impak yang lansung pada rakyat Palestin. Tapi sekurang-kurangnya bantulah untuk sama menyedakkan rakyat dan tunjukkanlah yang anda cakna tentang isu Palestin. Bukannya mabuk berpilihan raya sepanjang masa.

61!

‘Nelang’…Itulah perkataan yang boleh menggambarkan kejayaan kontinjen negeri Terengganu di SUKMA 2008.

Tahniah diucapkan kepada semua atlet dan pegawai negeri yang terlibat.

Kejayaan besar Terengganu dalam acara Kanu, berbasikal, olahraga dan silat telah banyak membantu dalam mengesahkan status sebagai kuasa baru sukan di Malaysia dan menempatkan Terengganu antara 4 negeri yang pernah menjuarai SUKMA (3 negeri lain adalah Selangor, Sarawak dan WP). Lebih manis, kejayaan skuad bola sepak yang memenangi pingat emas paling berharga setelah membelasah Perlis 5-1 telah melengkapkan kejayaan kontinjen negeri dalam SUKMA kali ini.

Yang pasti kejayaan Terengganu  kali ini sememangnya akan meningkatkan lagi populariti Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu yang baru.

Terima ksih Datuk sebab bagi cuti walaupun saya sememangnya tengah bercuti panjang.

Kembalikan Hak Rakyat Ganu.

Bak kata orang puteh, ‘so far, so good”.  Sekali lagi, aku bersetuju dengan kenyataan terbaru Menteri Besar baru aku ini.

Ahmad Said Minta Kerajaan Pusat Serah Kembali Royalti Minyak

KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) — Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said meminta Kerajaan Persekutuan supaya menyerahkan kembali pengurusan wang royalti minyak atau yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata sudah tiba masanya wang royalti minyak sebanyak lima peratus, yang ditarik balik semasa PAS memerintah Terengganu pada tahun 2000 dan kemudiannya digantikan dengan DKKP, diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri bagi membolehkan lebih banyak projek pembangunan dijalankan untuk rakyat di negeri ini.

“Kita berharap bahawa kalau boleh Kerajaan Pusat kembalikan royalti itu, kita cakap terus teranglah…tidak boleh selindung lagi. Kita mengharapkan duit (royalti) dapat kepada kita,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Selepas PAS mengambil alih pemerintahan di Terengganu apabila memenangi pilihan raya umum 1999, Kementerian Kewangan pada 5 Sept 2000 mengumumkan menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ehsan yang disalurkan terus kepada rakyat menerusi projek pembangunan, dan tidak lagi disalurkan melalui kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, sejak DKKP diperkenalkan semua projek yang menggunakan dana itu disalurkan terus kepada kementerian yang melaksanakannya tanpa merujuk kepada kerajaan negeri menyebabkan banyak projek yang dilaksanakan gagal memberi impak kerana tidak mengambil kira keperluan rakyat.

“Ada projek yang kita rancang… kita akui. Tetapi ada projek yang kita tidak rancang. Tiba-tiba sahaja kita dengar ada projek yang kita dapat.

Buat jalan dalam hutan dengan kos hingga RM50 juta hingga RM60 juta. Kita hanya mengetahui tentang projek itu apabila ia mempunyai masalah seperti tanah ditarik balik dan sebagainya.

“Ini yang menjadi masalah… sebab terlalu banyak pihak yang menguruskan wang royalti kerana ia adalah wang ehsan. Mereka menggunakan wang kita, jadi apabila kementerian yang buat ia adalah berasaskan kepentingan kementerian semata-mata tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak rakyat Terengganu.

“Ini menimbulkan masalah kepada kerajaan negeri. Saya cakap terus terang ada sesetengah projek yang saya sendiri secara peribadi tidak berpuas hati kerana dengan kos yang tinggi, tidak memberi keutamaan kepada rakyat sebaliknya orang lain tentukan bukan kita, sedangkan kita tuan rumah,” katanya.

Ahmad berkata jika Kerajaan Pusat menyerahkan kembali hak pengurusan DKKP, ia akan memudahkan kerajaan Terengganu membuat perancangan tentang projek pembangunan yang hendak dilaksanakan berbanding keadaan sekarang yang memerlukan permohonan dikemukakan terlebih dahulu.

Katanya kerajaan negeri mempunyai keutamaan sendiri dalam menentukan projek yang harus dilaksanakan terlebih dahulu dan jika wang itu ada pada kerajaan negeri, bajet dan perancangan akan menjadi lebih mudah. – BERNAMA

Harapan Baru Untuk Terengganu.

Berakhirnya sebuah krisis

Semoga Menteri Besar baru Terengganu akan melaksanakan apa yang dijanjikan beliau ini. Dan semoga apa yang terjadi di Malaysia dan Terengganu khususnya menjadi pengajaran yang amat bermakna untuk beliau.

Projek besar dikaji semula

KUALA TERENGGANU 30 Mac – Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberi jaminan kerajaan negeri akan mengkaji semula pelaksanaan beberapa projek besar di negeri ini sekiranya ia benar-benar dianggap tidak mendatangkan manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, pentadbiran baru akan memastikan hanya projek yang dirasakan benar-benar bermanfaat akan diteruskan manakala yang dianggap tidak berfaedah akan digantikan dengan projek lain.

‘‘Insya-Allah, saya akan lihat keseluruhan senario pembangunan Terengganu terlebih dahulu dan akan teliti keperluan utama rakyat sebelum membuat sebarang keputusan.

‘‘Kita akan meneliti apa yang mereka hendak daripada kerajaan, bukan kita beri pada rakyat apa yang kita rasa ada dan boleh beri.

‘‘Contohnya, kita ada projek pembangunan yang hebat tetapi akhirnya rakyat menolak. Itu tiada makna dan pembangunan yang dijalankan tidak datangkan manfaat kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Teluk Kalong.
-Utusan

baca lagi di Utusan

Harapan aku kepada beliau tak banyak. Untuk Datuk Ahmad, perintahlah negeri dengan adil tanpa membeza-bezakan rakyat mengikut kaum atau fahaman politik. Kedua, bantulah rakyat untuk mencapai pembangunan yang seimbang melengkapi duniawi dan ukhrawi. Seterusnya, agihkanlah pembangunan secara seimbang ke seluruh pelusuk negeri dari utara (Besut) hingga ke selatan (Kemaman). Dan terakhir, layanilah pembangkang di Dewan Undangan Negeri dengan sebaik-baiknya dan berilah perhatian sewajarnya kepada kritikan mereka demi kebaikan rakyat.

Sekian.

Tiada Perubahan Di Terengganu.

Sedang 4 negeri menerima angin perubahan, Terengganu masih memilih untuk mengekalkan kerajaan sedia ada walaupun PAS Terengganu ketika kempen PRU kelihatan beria-ria benar untuk menawan negeri ini dari menawan Kedah atau Selangor. Berikut adalah beberapa pendapat aku secara peribadi mengapa angin perubahan gagal sampai di Terengganu:

1) Imej PAS Terengganu yang amat buruk di persada politik nasional hasil berita-berita di media arus perdana. PAS Terengganu digambarkan sebagai puak ekstrimis, ganas dan gelojoh. Lihat sahaja bagaimana media memaparkan tindakan mereka menyerang penguatkuasa dalam insiden buang bendera di Batu 6, insiden cabut bendera di Dungun dan tidak lupa juga dengan insiden rusuhan di Batu Buruk. Sehari sebelum mengundi insiden tahan bas di Kuala Ibai telah menjadi tajuk utama berita di TV. Pada hari mengundi pula, rusuhan dan baling batu ke arah bas di Rusila menjadi tajuk utama dan masih menjadi isu sampai ke hari ini.

Aku pasti, tempoh yang agak lama diperlukan oleh PAS Terengganu membetulkan semula tingkah laku penyokong mereka dan memulihkan imej ganas ini di mata rakyat Terengganu.

2) PAS Terengganu terlalu overconfidence dengan mood pengundi dan dan perpecahan yang berlaku dalam UMNO Terengganu sehingga menimbulkan rasa ’sedap duduk’ di kalangan penyokong mereka.

Ini berdasarkan pemerhatian aku di alam maya sahaja. Artikel dan bahan kempen yang berkaitan dengan perpecahan pihak lawan terlalu banyak dan kadang-kadang tumpuan mereka lebih ke arah itu dari mewar-warkan bagaimana PAS Terengganu dapat mentadbir lebih baik dari kerajaan sedia ada.

3) Rakyat Terengganu 95% adalah orang Melayu sedangkan kejayaan BA dalam PRU kali ini lebih dibantu oleh ’swing votes’ dari kaum India dan Cina terutama di Pulau Penang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Fenomena swing votes yang telah berlaku pada 1999 dikalangan orang melayu Terengganu lebih disabitkan kepada kebosanan rakyat dengan kepimpinan lama. Tetapi swing sebegitu tidak berlaku kali ini.

4) Sifat ‘tawaduk’ PAS Terengganu kurang terserlah. Kadang-kadang mereka dilihat terlalu yakin dan mengenepikan sentimen/perasaan rakyat. Contohnya kenyataan seperti ‘kita akan menang 17 kerusi’, ‘rakyat masih bersama kita’ dan ‘UMNO menang pada 2004 kerana undi hantu’ kadang-kadang membuat rakyat meluat.

Berbeza dengan PAS Kelantan. Tok Guru sendiri merendah diri dengan menyatakan beliau menyerahkan kepada rakyat Kelantan untuk membuat pilihan. Begitu juga dengan tumpuan PAS Kelantan kepada majlis solat hajat dan munajat rakyat. Tumpuan yang lebih kepada majlis sebegini di Kelantan secara tak lansung dapat mengalihkan tumpuan rakyat pada propaganda duniawi UMNO.

5) Imej UMNO Terengganu sendiri yang dilihat berjaya di persada politik nasional. Projek-projek mega yang telah subur di Terengganu digambarkan sebagai satu yang positif walaupun manfaat lansung pada rakyat amat sedikit. Para pemimpin negeri juga digambarkan sebagai dinamik, memandang ke hadapan dan berjiwa rakyat. Lihat sahaja billboards yang terdapat di sekitar Terengganu dan iklan di TV (khabarnya ada iklan khas untuk Terengganu sewaktu kempen). Kebanyakannya memaparkan bagaimana keprihatinan pemimpin dan visi mereka dalam memimpin negeri.

Begitu juga dengan slogan ‘Islam Hadhari terengganu Bestari’, ‘Memahat Sejarah Mencipta Tamadun’, ‘Impianku’ dan Generasi Ulul-Albab’ banyak membantu dalam memberi imej positif di kalangan rakyat terutamanya di kalangan mereka yang kurang terdedah dengan maklumat alternatif. Dalam erti akta lain, publisiti UMNO Terengganu memang first class. Imej korporat yang diterapkan cukup berjaya. Tapi dari segi perlaksanaan sebenar hanya rakyat Terengganu di akar umbi yang menilai.

6) Ledakan informasi melaui internet belum lagi sampai sepenuhnya di Terengganu. Medium penyampian maklumat masih lagi banyak bergantung pada ceramah-ceramah politik. Kawasan-kawasan yang dimenangi PAS juga kebanyakannya berhampiran Kuala Terengganu(kadar penggunaan Internet tinggi) dan ceramah-ceramah politik sangat subur. Bukanlah aku mengatakan informasi akan menyebabkan rakyat memilih PAS. Tapi sekurang-kurangnya dengan informasi, rakyat dapat menilai secara keseluruhan apa yang berlaku di peringkat negeri dan negara dengan lebih kritikal.

7) Rakyat memang suka dengan model pembangunan yang sedia ada sekarang. Beranikah rakyat mengambil risiko melihat projek-projek seperti LPT, LTASM, atau UDM terbantut tanpa sempat mereka merasainya. Diakui bahawa manfaat lansung pada rakyat sangat sedikit. Tapi bagi aku, Terengganu sebenarnya sangat-sangat memerlukan projek seperti LPT dan LTASM bagi meningkatkan pelaburan dan pembangunan yang agak terkebelakang walaupun bila dibandingkan dengan Kelantan.

Jika diamati, penyokong PAS sendiri tidak banyak menyuarakan bantahan perlaksanaan dua projek penting tersebut melainkan projek TTI dan Monsun Cup. Malah PAS sendiri pernah bercadang untuk membina Motorway dari Jabor ke Besut ketika pemerintahan mereka. Orang yang rasional dan tinggal di Terengganu akan akui kepentingan 2 medium pengangkutan itu ditingkatkan taraf di Terengganu. Kalau orang luar yang tak suka 2 projek tu aku tak hairan.

Setakat ini sahaja pendapat aku. Sahaja aku mengisi masa spring break kali ini dengan menulis banyak sedikit. Lebih-lebih lagi mood pilihan raya masih lagi menebal.

Sekian Wasallam.

Kisah Tok Maimun.

Sekali lagi Malaysiakini membawakan liputan pilihan raya dari Terengganu. Kali ini mereka mendekati calon bebas yang akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu.

Hairan dan kagum juga aku melihat Tok Maimun. Sanggup bergolok gadai RM 10,000 untuk masuk bertanding berbekalkan kepercayaan bahawa bercakap di belakang dan sekadar mengeluh sesama kita tidak memadai untuk membetulkan keadaan. Sanggup masuk bertanding walaupun risiko beliau hilang wang deposit pertaruhan amat tinggi di tambahan pula dengan kehidupan beliau sendiri yang hidup dalam keadaan serba kekurangan.

Berbeza dengan anak muda sekarang. Ramai yang telah mendapat maklumat dan tahu banyak perkara yang salah dan menjijikkan dilakukan oleh pemimpin mereka. Tetapi masih ramai yang masih mengambil sikap berpeluk tubuh untuk tidak keluar mengundi atas dasar kepercayaan satu undi yang ada pada mereka tidak akan dapat merubah apa-apa. Usahkan mahu masuk bertanding atau berkempen seperti Tok Maimun, mahu keluar mengundi pun payah!

Apapun selamat berkempen dan selamat bertanding Tok!

Terengganu Bergelora.

Belum lagi kempen sebenar 13 hari bermula, sudah banyak kejadian yang berlaku di Terengganu. Dua tiga hari lepas, kecoh dengan kejadian bendera Barisan Nasional ditumbangkan di Dungun. Sehari selepas itu, bendera PAS pula diturunkan di bulatan Batu 6 oleh pihak berkuasa tempatan diikuti bantahan oleh penyokong-penyokong mereka.

Semalam pula, selepas pengumuman calon oleh pihak Barisan Nasional, beberapa demonstrasi kecil telah dicetuskan oleh beberapa penyokong calon yang tidak dinamakan semula. Mereka dikatakan tidak akan berhenti setakat itu. Ada beberapa lagi siri tunjuk perasaan kecil yang dirancang selepas solat Jumaat esok. Boleh baca tentang tunjuk perasaan mereka di sini dan di sini.

Gambar dari TKO

Hujung minggu ini pula, 22 Feb, Bersih juga sekali lagi akan mengadakan perhimpunan mereka di Kuala Terengganu yang dikenal sebagai Karnival Rakyat. Yang pastinya, perhimpunan itu juga tidak mendapat kelulusan kerana dikhabarkan akan diadakan di premis persendirian.

Alahai rakyat Terengganu..Mengapa kalian semua suka berdemo semenjak akhir-akhir ini?

Harapnya tiada apa perkara yang tidak diingini berlaku hujung minggu ini di Terengganu.

Ya Allah..peliharakanlah Terengganu.

Statistik.

sumber Utusan.
Antara dua jiran.

Terengganu Berubah.

Baru seketika tadi aku membaca berita mengenai acara Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa 2008 yang akan diadakan di Taman Tamudan Islam, Kuala Terengganu. Terkejut beruk aku mendengarnya. Beruk-beruk yang menghuni Pulau Wan Man mungkin juga turut sama terkejut. Mana tidaknya, acara yang sinonim dengan PWTC itu akan berkelana ke Terangganu tahun depan.

Bukan acara tilawah sahaja, Sukma 2008 juga akan diadakan di Terengganu. Pasti stadium baru dan kompleks sukan Gong Badak sudah siap tersergam indah ketika itu. Terengganu tidak lagi glamor dengan Monsoon Cup sahaja selepas ini.

Tahun Melawat Terengganu juga tahun depan. Pasti Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang telah siap dinaik taraf bakal menerima kunjungan jutaan pelancong asing. Penaiktarafan LTSM juga memungkinkan satu kompleks Tabung Haji baru akan dibina di Terengganu bagi kemudahan para jemaah sebelum berlepas ke tanah suci dari LTSM.

Aku pun sekarang ini sudah mula berkira-kira untuk mengakhiri perjalanan pulangku di LTSM, bukan lagi berhenti KLIA dan kemudiannya terpaksa menaiki kereta berjam-jam sebelum sampai ke rumah. Oh! Mungkin tidak lagi berjam-jam perjalanan ke Terengganu. Mungkin hanya 2-3 jam sahaja dengan adanya Lebuhraya Pantai Timur dan perjalanan aku mungkin berakhir di Ajil Interchange yang hanya 15 minit perjalanan dari rumah.

Tanggal 1 Januari 2008 juga adalah tanggal yang istimewa kerana bandar Kuala Terengganu akan dinaik taraf  kepada Bandaraya KualaTerengganu. Entah bagaimanalah rupanya bandaraya KT ketika itu. Tak mampu aku bayangkan perubahan yang berlaku di KT sejak kali terakhir aku ke sana. Pasti sekarang sudah maju. Jalan bersimpang-siur. Bangunan pencakar langit tersergam indah. Shopping mall menjadi tumpuan anak-anak muda membeli-belah. Pasar Payang dan Pasar Chabang Tiga pula hanya dikunjungi pelancong dan makcik-makcik yang mahu membeli barang keperluan. Sistem pengangkutan awam juga sudah diintergrasi ke seluruh bandaraya dan seluruh daerah dalam negeri.

Begitulah kisah transformasi Terengganu. Tapi bayangkan jika suatu perkara ini berlaku tahun hadapan. Bayangkan parti yang memerintah Terengganu bertukar lagi seperti tahun 1999. Dengan pilihan raya umum ke-12 yang mengitung hari, bayangkan apakah yang akan berlaku pada semua perancangan ini jika tampuk pemerintahan bertukar tangan. Dan juga fikirkan juga sekali sama ada beranikah rakyat Terengganu merubah kerajaan negeri dengan segala perancangan rapi untuk negeri mereka telah terbentang depan mata. Semuanya berada di tangan rakyat Terengganu. Jawapannya ada di akhir PRU-12 nanti. Sama-sama kita nantikan.